Tutup

Berita  | Sukan

Korea Selatan pikul harapan Asia, Algeria sedia buat kejutan

Korea Selatan pikul harapan Asia, Algeria sedia buat kejutan
Cabaran Asia kini digalas oleh Korea Selatan untuk memastikan ada wakil Asia dalam peringkat kalah mati nanti.
KUALA LUMPUR: Selepas tiga sandaran Asia, Australia, Jepun dan Iran tersungkur di peringkat kumpulan dan menghuni tangga terbawah kumpulan masing-masing, kini tinggal Korea Selatan sahaja yang mampu melaksanakan ‘misi mustahil’ ini dalam usaha untuk meletakkan satu wakil Asia dalam pusingan kalah mati.

Berdepan dengan Belgium yang sudah pun layak, Korea Selatan tidak ada pilihan lain selain menang keatas Belgium dengan jaringan besar selain mengharapkan Algeria tewas kepada Rusia dalam perlawanan terakhir Kumpulan H ini.
Kelibat perancang tengah negara itu, Ki Sung-yueng akan ditagih dalam merencanakan gerakan berbahaya yang dijangka akan diketuai oleh Son Heung-min, Lee Keun-ho dan Koo Ja-cheol.

Manakala, Belgium yang sudah layak juga tidak mahu dimalukan oleh negara kerdil seperti Korea Selatan dan Romelo Lukaku, Eden Hazard dan Dries Mertens akan diletakkan sebagai penggempur yang bakal merobek gawang Korea Selatan.
Sementara itu, Algeria yang menamatkan 32 tahun kemarau kemenangan dalam temasya Piala Dunia akan memastikan gawang mereka tidak dibolosi oleh barisan penyerang Rusia.

Algeria yang berkelebihan di tempat kedua kumpulan ini pasti akan menggunakan kesempatan itu untuk mengekang asakan Rusia disamping melancarkan serangan balas berbahaya ke kubu Rusia.

Islam Slimane yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Tottenham Hotspurs dan Liverpool dijangka akan bergandingan dengan Sofiane Feghouli, Nabil Bentaleb dan Yacine Brahimi.

Meskipun dua keputusan lepas tidak memberangsangkan dicatat oleh Rusia, mereka tidak mahu itu dijadikan ukuran untuk tidak berjuang bermati-matian untuk menggegar pintu gol Algeria.

Rusia dijangka akan bergantung kepada Aleksandr Samedov, Igor Denisov dan Alan Dzagoev untuk mencari tiga mata berharga untuk layak ke peringkat kalah mati.

RAMALAN ASTRO AWANI: Korea Selatan..0 Belgium..3, Algeria..2 Rusia..1