BERBILION rakyat India berdukacita setelah pasukan mereka gagal menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Kriket Piala Dunia selepas ditewaskan pasukan New Zealand.

Pasukan dari Negara Kiwi itu menundukkan India - yang pada kejohanan lalu merangkul kedudukan naib juara - dalam pusingan separuh akhir dengan kelebihan 18 larian di Old Trafford, Manchester, England pada Rabu.

India disingkirkan dengan 221 larian over 49 meskipun saingan sengit diberikan pasukan tumpuan dunia itu.

Bagaimanapun, New Zealand berjaya mendapat 239 larian sekali gus membenamkan impian India ke peringkat akhir.

New Zealand bakal berdepan sama ada pasukan Australia atau England dalam pusingan akhir piala dunia itu.

Kriket sememangnya dianggap 'sukan kebesaran India' dan kekalahan itu membuatkan beberapa sosok ternama negara itu menzahirkan kesedihan menerusi Twitter.

Bekas Ketua Kongres, Rahul Gandhi berkata pasukan India telah menunjukkan semangat perlawanan yang sengit dan para pemain layak mendapat penghormatan.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi juga menyatakan kekecewaan tentang keputusan perlawanan itu.

"India sudah berjuang dengan sehabis baik sepanjang kejohanan, yang membuatkan kami berasa sangat banggsa. Kalah atau menang adalah sebahagian daripada kehidupan," ujarnya.