Satu kehilangan besar buat sukan badminton Malaysia.

Berikut kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek apabila diberitahu tentang kematian lagenda badminton negara Datuk Eddy Choong petang Isnin.

Eddy meninggal dunia lebih kurang jam 3 petang di sebuah hospital di George Town, Pulau Pinang. Beliau berumur 82.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Eddy. Beliau merupakan seorang lagenda yang menjadi inspirasi kepada ramai pemain muda negara termasuk Lee Chong Wei,” kata Ahmad Shabery.

“Kita telah kehilangan seorang lagenda tetapi beliau akan tetapi dikenangi...dulu, kini dan selamanya.”

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh juga terkejut dengan kematian Eddy.

“Saya baru diberitahu mengenai kematiannya. Ia merupakan satu kehilangan besar buat sukan badminton negara yang kehebatannya tiada tandingan.”

Anak kelahiran Pulau Pinang itu menjuarai kejohanan All-England (acara perseorangan) sebanyak empat kali pada tahun 1953, 1954, 1956 dan 1957. Dia juga pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 1957 dan1960.