Juara bertahan Piala Malaysia, Selangor berdepan laluan sukar selepas diundi bersama juara dua kali, Kelantan dan Pahang FC selain Kuala Lumpur dalam Kumpulan B.

Pada majlis undian diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama dan dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah malam tadi, juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) pula mendapat laluan selesa selepas diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak dan PKNS FC.

Pendahulu Liga Perdana, Melaka United yang layak ke Piala Malaysia selepas tujuh tahun, pula diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Felda United, Terengganu FA dan Negeri Sembilan.

Finalis Piala Malaysia 2015, Kedah turut berdepan laluan selesa apabila diundi dalam Kumpulan A yang turut melibatkan pasukan Terengganu FC II, Sarawak dan JDT II.

Format baharu Piala Malaysia yang diperkenalkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bermula tahun ini, menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana, selepas berakhir 11 perlawanan liga masing-masing, layak beraksi ke Piala Malaysia.

Setiap pasukan akan bermain secara liga dua pusingan - tiga perlawanan selaku tuan rumah dan tiga perlawanan sebagai pasukan pelawat, dalam saingan Piala Malaysia, dijangka bermula akhir Julai ini.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir Piala Malaysia yang menggunakan format timbal balik.

Keputusan Undian:

Kumpulan A: Terengganu FC II, Kedah, Sarawak, JDT II

Kumpulan B: Selangor, Kelantan, Pahang FC, Kuala Lumpur

Kumpulan C: JDT, PDRM, Perak, PKNS FC

Kumpulan D: Felda United, Terengganu FA, Melaka United, Negeri Sembilan