Selepas menjuarai kejohanan Asia Tenggara Hyperplay di Stadium Tertutup Singapura pada Ahad, pasukan League of Legends (LoL) Malaysia, Kuala Lumpur Hunters (KLH) mensasarkan untuk merangkul gelaran juara dunia.

Pengurus KLH, Amanda Lee Mun Lin berkata selepas menewaskan Super Star Destroyer (Vietnam) 2-0 dalam final itu, KLH kini mempunyai misi untuk mengekalkan corak permainan dan prestasi yang baik dan seterusnya membawa pulang gelaran yang terbaik di dunia dalam e-sukan LoL.

"Kemenangan (Ahad) sangat membanggakan buat kami, terutama apabila kami berpeluang untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa ini.

"Selepas kejohanan di Hyperplay, kami akan ke Filipina untuk kejohanan Global Manila Conquerors bagi merebut slot wakil Asia Tenggara ke kejuaraan dunia LoL," kata Amanda ketika dihubungi Astro AWANI.

Kejohanan LoL Asia Tenggara tersebut, disertai 10 negara rantau ini dan merupakan sebahagian daripada acara besar festival Hyperplay.

Festival tersebut yang dibawakan oleh Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura serta Majlis Belia Negara itu menggabungkan acara konsert muzik dan kejohanan e-sukan.

Turut meluangkan masa memberi sokongan kepada KLH ketika kejohanan LoL berlangsung adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Menurut Amanda, kehadiran Syed Saddiq pada semi final pada Sabtu sudah tentunya memberi semangat kepada KLH untuk memenangi kejuaraan tersebut.

BACA: LCM: Kuala Lumpur Hunters juara, bawa pulang wang tunai RM60,000

"Kami rasa terharu apabila mendapat perhatian beliau (Syed Saddiq).

"Saya rasa kalau boleh digambarkan perasaan itu adalah seperti ibu bapa kita sendiri datang pada Hari Sukan untuk memberi sokongan.

"Kami berasa sangat gembira mendapat sokongan daripada ramai pihak," tambah Amanda.

Selain Amanda, KLH terdiri anak-anak muda berkebolehan tinggi dalam arena e-sukan itu termasuk Adrian Lee Meng Xuan (Shiro) Chan Roonghan (ArrHedge), Eric Sia Sze Pin, (QaspieL), Poon Kok Sing (Ozora Veki) dan CalvinYang Quok Vern (SOUPerior).

Antara pencapaian KLH sebelum ini termasuk memenangi 10 kejohanan Legends Circuits (TLC) dan sering terpilih sebagai wakil Malaysia ke pentas antarabangsa.

Baru-baru ini, KLH juga merupakan satu-satunya wakil Malaysia ke Final Garena Premier League 2018 Spring Split.