AC MILAN 3 OLYMPIACOS 1

Pengarah AC Milan, Leonardo, menolak Zlatan Ibrahimovic akan kembali meskipun mengakui penggempur LA Galaxy itu sempat berada perancangan kelab Itali itu.

Ibrahimovic merakamkan 42 gol Serie A untuk Milan di antara 2010 dan 2012 sebelum berhijrah untuk menyertai kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Bekas bintang Sweden itu telah menjaringkan 20 gol untuk pasukan MLS itu pada musim 2018, dan Milan dilaporkan telah menghubungi penyerang berusia 37 tahun itu untuk tawaran perpindahan.

Begitupun, Pengarah Milan, Leonardo, menepis khabar angin tersebut sebelum mereka melakar kemenangan 3-1 ke atas Olympiacos dalam kempen Liga Europa, awal pagi tadi.

"Ibra mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Milan, semua orang tahu itu," kata Leonardo kepada Sky Sport Italia.

"Kami tidak boleh menafikan bahawa ia bukan cakap-cakap kosong pada awalnya memandangkan dia (Ibrahimovic) seorang yang luar biasa dan mempunyai ciri-ciri yang sangat spesifik tetapi kini ia mustahil."

Sementara itu, Gennaro Gattuso, memberi sokongan kepada Patrick Cutrone untuk mewarisi kelibat Filippo Inzaghi di sebalik Ibrahimovic sedang hangat dikaitkan.

Cutrone melakar dua jaringan di samping Gonzalo Higuain yang menyaksikan Milan meledak tiga gol dalam tempoh sembilan minit dalam babak kedua untuk bangkit menundukkan Olympiacos.

Pemain muda itu menyerlah dalam kempen lalu dan Gattuso percaya Cutrone mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan diri bagi mengulangi sentuhan berbisa Inzaghi di San Siro.

"Saya harap dia boleh menjadi jelmaan Inzaghi," kata Gattuso dalam sidang akhbar. "Bagaimanapun, dia harus terus bekerja dan merendah diri."