PEP Guardiola mendedahkan keputusan untuk membenarkan Joe Hart meninggalkan Manchester City adalah perkara paling sukar dalam kariernya setelah penjaga gawang itu berdepan masa depan yang tidak menentu.

Laporan baru-baru ini mendakwa West Ham memilih untuk tidak menandatangani pemain pinjaman berusia 31 tahun itu secara kekal, ini bermakna dia mungkin kembali ke juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada akhir kempen itu.

Hart kehilangan tempatnya sebagai pemain nombor satu England kerana melakukan kesilapan mudah ketika mewakili Hammers dan tidak sepenuhnya meyakinkan di Torino, di mana dia menghabiskan kempen lalu sejurus ketibaan Guardiola di Manchester.

Pengurus City itu hanya mempertimbangkan untuk membawa masuk seorang atau dua pemain sahaja dalam jendela perpindahan seterusnya.

Justeru, Guardiola mengambil kesempatan itu untuk mendedahkan konflik dalaman yang sempat dihadapinya sebelum membenarkan pemain yang sudah membuat 250 penampilan bersama kelab itu untuk pergi.

"Ia merupakan keputusan paling sukar yang pernah saya lakukan sebagai pengurus kerana dia seorang profesional yang hebat ketika bersama kami. Saya tidak meragui kualitinya," kata Guardiola.

"Tetapi di sini, saya mahu menjelaskan di depan anda bahawa ia mengenai keputusan teknikal. Kadang-kadang ia baik dan kadang-kadang tidak.

"Saya tidak tahu siatuasinya di West Ham, saya fikir West Ham akan berunding dengan City.

"Kami akan bercakap dengan pengurusan dan membuat keputusan yang tepat, terutama untuknya."

Status pinjaman bermakna Hart terpaksa diketepikan ketika City mencatat kemenangan 4-1 ke atas pencabar yang menghuni tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris itu di Stadium London, malam tadi.