Paul Pogba memuji Wayne Rooney selepas pengambil penalti tetap Manchester United itu membenarkan pemain dari Perancis itu untuk mengambil sepakan penalti tersebut dalam kemenangan 4-1 ke atas Fenerbahce dalam aksi Liga Europa di Old Trafford.

Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-31 dan jaringan tersebut merupakan jaringan keduanya bersama United selepas Simon Kjaer mengasari Juan Mata di dalam kotak penalti.

Dia kemudiannya memberi peluang mengambil sepakan penalti kepada Anthony Martial, yang menjaringkan gol kedua United tiga minit kemudian selepas dikasari oleh Sener Ozbayrakli.

Pogba menjadikan kedudukan 3-0 dalam masa kecederaan babak pertama dengan satu rembatan jarak jauh dan Jesse Lingard menambah gol keempat selepas rehat sebelum Robin Van Persie, yang kembali beraksi di Old Trafford, menjaringkan gol pada lewat perlawanan untuk kelab Turki itu.

Keputusan tersebut menyaksikan United kini berada di tangga kedua dalam Kumpulan A, berkongsi mata dengan Feyenoord yang berada di kedudukan teratas, dan Pogba gembira dengan prestasi serta keputusan yang diraih mereka.

"Kami mahukan kemenangan kerana ia benar-benar penting dan kini kami berada di kedudukan atas kumpulan dan kami tidak sabar untuk mengharungi perlawanan seterusnya," katanya.

"Saya memberitahu Rooney saya mahu mengambil penalti dan dia membiarkan saya mengambilnya.

"Saya amat gembira untuk menjaringkan penalti dan dengan pemain seperti dia membenarkan saya untuk mengambil penalti tersebut, ia adalah satu penghormatan dan saya amat gembira.

"Saya berasa selesa dengan semua di dalam pasukan. Ia merupakan satu permulaan untuk musim ini dan perjalanan kami masih jauh lagi, kami mahu berada di kedudukan teratas.

"Kami akan melakukan dengan lebih baik lagi untuk mencabar kedudukan teratas liga."

United bakal bertemu Chelsea pada Ahad ini manakala perlawanan Liga Europa mereka yang seterusnya ialah aksi timbal balik bertemu Fenerbahce pada 3 November.