Bekas kapten hoki negara, Shahrun Nabil Abdullah, terkilan apabila digugurkan daripada skuad kebangsaan ekoran kecederaan lutut selepas 12 tahun menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Shahrun Nabil yang mengalami kecederaan lutut, terpaksa dibedah sebanyak dua kali dan terbaru, tiga minggu lalu.

Ini bermakna tonggak Terengganu Hockey Team (THT) itu sudah berehat selama lapan bulan sejak November tahun lalu.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tiada pilihan kecuali terpaksa menggugurkannya daripada skuad kendalian Stephen Van Huizen.

Tindakan itu menyebabkan Shahrun Nabil terkilan kerana jasa selama 12 tahun seperti tidak dihargai.

"Memang kritikal untuk menerima keputusan ini sebab inilah kecederaan paling lama yang saya alami dalam sukan hoki yang saya ceburi selama ini.

"Amat terkilanlah, tetapi saya tak boleh marah kepada pihak lain kerana saya mengalami kecederaan yang agak lama.

"Saya harap dapat pulih untuk kembali beraksi untuk pasukan kebangsaan," katanya.

Dia masih berpeluang untuk kembali disenaraikan sekiranya mempamerkan aksi cemerlang bersama THT dalam Liga Hoki Malaysia, Ogos depan kerana dia belum bercadang untuk bersara.

Shahrun Nabil turut mengulas isu tonggak Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Mohd Haziq Shamsul dan Meor Azuan Hassan, yang mahu berhijrah menyertai kelab lain.

UNIKL meminta kedua-dua pemain itu membayar pampasan kerana masih mempunyai kontrak selama setahun.

"Buat pemain-pemain yang masih mempunyai kontrak dengan kelab lama, dia perlu mematuhi baki kontrak mereka. Mereka tidak boleh sesuka hati nak berhijrah ke mana-mana pasukan kerana itu akan melanggar prosedur kontrak."