KEMENANGAN Bayern Munich di Allianz Arena dalam aksi separuh akhir kedua saingan Liga Juara-Juara Eropah tidak membawa apa-apa makna selepas gagal menyekat kemaraan Atletico Madrid yang mengesahkan tempat ke final menerusi kelebihan gol di laman lawan.

Ketinggalan 0-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Madrid, Bayern pastinya mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memastikan slot ke final menjadi milik skuad gergasi Jerman itu.

Dan terbukti Jentera serangan Bayern tidak putus-putus mengancam keampuhan kubu pertahan pelawat namun tiada sebarang penyudah sempurna terhasil sehinggalah pada minit ke-31, peluang sepakan percuma oleh Xabi Alonso berjaya meletakkan Bayern di depan, 1-0.

Pasukan tuan rumah hampir menggandakan kedudukan jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-34, namun gagal disempurnakan Thomas Muller untuk kedudukan agregat 1-1 kekal menuju bilik persalinan.

Atletico yang agak pasif dalam menyerang di aksi babak pertama dilihat meningkatkan sedikit tempo permainan sebaik babak kedua bersambung.

Dan hasilnya, Atletico berjaya meledak jaringan selepas Antoine Grizzman bijak menggunakan peluang terhidang untuk kembali meletak pasukannya di hadapan dengan kelebihan agregat 2-1.

Tersentak, pasukan tuan rumah bingkas bangkit dan akhirnya berjaya mengikat kedudukan agregat selepas Robert Lewandowski berjaya menanduk kemas hantaran Alonso ke dalam gawang lawan.

Atletico hampir meledak jaringan kedua, namun sayang sekali sepakan penalti Fernando Torres dinafikan penjaga gol Bayern untuk tamat perlawanan Bayern Munich 2, Atletico 1.

Kelebihan jaringan di tempat lawan dimiliki Atletico menyaksikan skuad dari Sepanyol itu mengesahkan tempat ke final yang bakal berlangsung di San Siro, Milan.