Astro melanjutkan kerjasama dengan beIN Asia Pacific untuk menyiarkan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa (UEL) kepada pelanggan Astro dari musim 2018/19 sehingga musim 2020/21.

Kedua-dua kejohanan akan disiarkan di saluran beIN SPORTS dan saluran khas UEFA, beIN SPORTS MAX.

“Astro ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat setia kejohanan UCL/UEL. Sebagai ‘home of sports’, kami gembira untuk menjadi rakan kongsi beIN untuk menyiarkan tiga musim baharu UCL/UEL di Malaysia menerusi beIN SPORTS.

“Peminat juga boleh menonton saluran linear beIN SPORTS di aplikasi Astro Go pada bila-bila masa," kata Ketua Sukan Astro, CK Lee.

Bagi Pengarah Urusan Asia, beIN Asia Pacific, Mike Kerr, peminat bola sepak kini boleh menikmati UCL dan UEL di beIN SPORTS yang turut menyiarkan saingan La Liga Sepanyol dan Ligue 1 Perancis.

“Peminat bola sepak kini boleh menikmati aksi bola sepak Eropah di saluran kami, di mana satu-satunya kejohanan bintang mega bola sepak seperti Ronaldo, Messi, Neymar dan Salah bertarung menjadi yang terhebat.

“Kami teruja untuk menjayakan perkara ini dengan Astro kerana kami mahu menawarkan pengalaman terbaik bola sepak dan membakar semangat peminat.” kata Mike Kerr.

Musim UCL 2018/19 menjanjikan perubahan format yang mengujakan bagi kejohanan terunggul bola sepak Eropah itu kerana semakin banyak kelab di Eropah layak secara automatik menerusi liga domestik termasuk empat kelab terbaik dari Sepanyol, Jerman, England dan Itali.

Ia menjanjikan aksi dramatik antara pasukan Manchester United, Liverpool, Paris Saint-Germain, Juventus, Barcelona dan juara bertahan, Real Madrid, bagi merebut tempat ke pentas final di Madrid pada Jun 2019.

Sementara peminat boleh menyaksikan pertarungan hebat UEL antara 48 pasukan termasuk Arsenal, Chelsea, AC Milan, Sevilla, Lazio dan pasukan-pasukan lain dari 27 negara Eropah, untuk merampas kejuaraan daripada Atletico Madrid dalam kejohanan bola sepak terbesar di Eropah itu.

Final UEL akan diadakan di Azerbaijan pada minggu yang sama final UCL akan dilangsungkan.