Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengambil keputusan untuk memasarkan hak penyiaran Liga Malaysia 2018 secara terus kepada stesen televisyen yang berminat selepas ia diumumkan di Johor Bahru, hari ini.

"Bagi hak penyiaran, FMLLP mengambil keputusan memasarkannya sendiri kepada penyiar dan tidak melalui agensi.

"Kami akan mengumumkan perjanjian penyiaran yang telah dicapai dalam masa yang terdekat," kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Terdahulu, FMLLP menandatangani perjanjian dengan Ampersand Sports Sdn Bhd untuk melantik syarikat itu sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan Liga Malaysia.

Ia membabitkan perjanjian selama lima tahun bermula tahun depan yang merangkumi Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA dengan memberi pulangan minimum sebanyak RM104 juta kepada FMLLP.

Majlis perjanjian disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Pengerusi FMLLP, dan Pengerusi Ampersand Sports, Tan Sri Vincent Lee.

"Ampersand Sports membawa kepakaran perhubungan awam, kreatif dan komunikasi yang merupakan sebahagian daripada pelan tindakan (blueprint) untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat seterusnya.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan yang dihormati seperti Vincent dalam meningkatkan nilai komersial liga," kata Tunku Ismail.