Liga Perdana Inggeris (EPL) melancarkan kempen media anti-cetak rompak pertama di Malaysia, yang menekankan mengenai kesedaran kualiti tontonan dan risiko yang bakal dihadapi oleh peminat yang menonton perlawanan melalui saluran penstriman haram.

Liga tersebut dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kempen "Boot Out Piracy" itu akan mendidik peminat mengenai pengalaman kurang memuaskan menonton siaran berkualiti rendah dan menguar-uarkan risiko yang bakal dihadapi oleh penonton sekiranya mereka memilih untuk menonton perlawanan menerusi platform tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Jelasnya, penstriman perlawanan secara haram bukan sahaja menyebabkan peminat menghadapi isu seperti kelewatan, pautan rosak serta pengiklanan secara ‘pop-out’, malah turut membawa mereka kepada isu seperti malware dan ransomware, yang boleh menyebabkan kecurian dan penipuan data.

Kempen itu akan diadakan di seluruh platform digital dengan mempamerkan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris sebagai duta kempen berkenaan.

Malah, pengurus pasukan bola sepak seperti Ole Gunnar Solskjaer, Pep Guardiola dan Frank Lampard turut ditampilkan di dalam kempen berkenaan, yang juga dilancarkan di Indonesia dan Hong Kong pada permulaan liga musim 2020/21.

Tambahnya, dalam kaji selidik yang diwakili lebih 1,000 orang di Malaysia, seramai 68 peratus responden yang menonton perlawanan menerusi penstriman haram sering mengalami gangguan sepanjang perlawanan itu berlangsung.

Selain itu, seramai suku daripada responden juga mengakui pernah merasai situasi penstriman perlawanan terhenti serta berdepan isu seperti virus dan malware di dalam peranti mereka.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perundangan Liga Perdana Inggeris, Kevin Plumb juga berkata pihaknya mahukan peminat merasai pengalaman tontonan yang terbaik, tanpa sebarang gangguan.

“Terdapat banyak risiko menonton perlawanan bola sepak menerusi penstriman haram, dan kempen ini mengingatkan peminat agar tidak terjerumus dalam aktiviti haram berkenaan, bagi mengelakkan kecurian data dan penipuan dalam talian.

“Peminat bola sepak di Malaysia antara penonton yang paling teruja ketika menonton perlawanan dan kami mahukan mereka menonton Liga Perdana secara selamat dan merasai pengalaman tontonan terbaik menerusi saluran rakan kerjasama penyiaran rasmi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro Malaysia, Lee Choong Khay berkata dengan kerjasama Liga Perdana Inggeris, Astro komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencegah tontonan secara penstriman haram.

“Sebagai rakan penyiaran rasmi dan eksklusif di Malaysia, Astro juga komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat semua peminat sukan itu dengan tontonan terbaik serta tanpa sebarang gangguan perlawanan.

“Tontonilah segala drama dan detik sukan. Seluruh 380 perlawanan dalam musim 2020/21 akan disiarkan secara langsung dalam HD dan turut distrimkan dalam Astro GO dengan beberapa perlawanan disiarkan secara 4K UHD (definisi ultra-tinggi) dengan dekoder Ultra Box terbaharu kami dan Astro Broadband,” kata Lee.