KEDAH 0 PKNS FC 0

Kedah mensia-siakan peluang kembali ke persada Liga Super selepas terikat tanpa jaringan dengan PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Sabtu.

Skuad Lang Merah itu hanya memerlukan kemenangan dengan kelebihan satu gol bagi memintas kembali pasukan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang menewaskan Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam, pada Jumaat.

Keputusan seri itu menyaksikan mereka kini jatuh ke tangga ketiga di belakang Pahang yang menewaskan PKNP FC 3-0 di Manjung dalam perlawanan yang berlangsung serentak -- hasil kelebihan jaringan.

Kedah harus menyalahkan diri mereka sendiri selepas mensia-siakan deretan peluang dalam babak pertama, antaranya menerusi Jonatan Bauman dan Fernando Rodriguez.

Rembatan Bauman tersasar di sebelah kiri gawang Zarif Irfan Hashimuddin selepas terbias pertahanan lawan pada minit ke-10.

Rembatan leret Rodriguez dari luar kotak penalti pula ditepis keluar Zarif pada minit ke-24.

Aksi mantap terus dipamerkan Zarif pada minit ke-36 untuk menangkap kemas bola sepakan percuma kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, selepas Faizat Ghazli terlepas peluang terbaik PKNS FC menerusi situasi satu lawan satu dengan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Harapan Kedah untuk mencari jaringan kemenangan dalam babak kedua jelas dihampakan ketumpulan jentera penyudah.

Peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-63 apabila percubaan Rodriguez susulan hantaran lintang Rizal Ghazali terkena tiang.

Harapan itu semakin pudar selepas Renan Alves dilayangkan kad merah akibat tindakannya menghantuk kepala Faizat yang dilihat melengah-lengahkan perlawanan pada minit ke-87 untuk skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu sekadar berpuas hati dengan pungutan satu mata.

Keputusan lain:

FELDA UNITED 1 PETALING JAYA CITY FC 0
PKNP 0 PAHANG 3