Kelantan berdepan tugas getir apabila menentang Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang malam nanti (Sabtu).

Ketua jurulatih Kelantan Sathit Bensoh berkata kedua-kedua pasukan pastinya akan berusaha keras untuk meraih mata penuh bagi mengubah kedudukan masing-masing dalam liga itu.

"Kami tahu Pahang akan cuba bangkit selepas tewas kepada pasukan PKNS 0-1 pada perlawanan Selasa lalu dan kebangkitan mereka di halaman sendiri sesuatu yang tidak bagus bagi kami yang mahu meraih tiga mata di gelanggang lawan," katanya ketika dihubungi di sini.

Tambahan pula katanya pasukan Pahang pada musim ini dibarisi muka baharu terutama pemain import.

"Rata-rata pemain saya tidak begitu mengetahui corak pemain-pemain yang ada dalam pasukan Pahang oleh itu mereka tidak boleh melakukan kesilapan yang sama seperti dua perlawanan lalu," katanya.

Kelantan kini di tangga kesembilan Liga Super selepas dua perlawanan dengan keputusan satu seri dan satu kalah.

-- BERNAMA