Berita  | Sukan

Liga Super: Selangor terkulai di Shah Alam

Liga Super: Selangor terkulai di Shah Alam
Pemain pasukan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie (atas) cuba mengawal bola daripada pemain pasukan Selangor, Antonio Timothy German pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan Selangor bertemu pasukan PKNS FC. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Hasrat Selangor untuk meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini tidak kesampaian sebaik ditewaskan PKNS FC 0-4 di Stadium Shah Alam pada Ahad.

Jaringan daripada Nicholas Swirad, Kpah Sherman, Chan Vathanaka dan Romel Morales sudah cukup untuk PKNS FC mengaibkan skuad Gergasi Merah itu di laman mereka sendiri.

Kekalahan itu juga sudah pasti menambahkan tekanan buat ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang sebelum ini dikritik hebat peminat ekoran dua keputusan seri dengan Felda United dan Petaling Jaya City FC.
PKNS FC bermula garang dalam aksi awal di Stadium Shah Alam, namun mereka kerap dihampakan ketangkasan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Antonio German berpeluang membuka jaringan buat tuan rumah, namun percubaannya dari jarak 35 meter tersasar di bahagian kiri gawang lawan.

Faiz Nasir sepatutnya menjaringkan gol pertama Selangor, namun dia gagal menanduk masuk bola hantaran lintang Syazwan Zainon pada minit ke-21.

PKNS FC kemudian membuka jaringan pada minit ke-27 selepas sepakan sudut Vathanaka disudahkan Swirad untuk skuad The Red Ants itu mengemudi perlawanan sepanjang separuh masa pertama.

PKNS FC menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-49 menerusi Sherman yang bijak memanfaatkan peluang di depan gol.

Selangor cuba melakar kebangkitan menerusi beberapa percubaan, namun PKNS FC terus melebarkan kelebihan mereka menerusi jaringan Vatanhaka pada minit ke-79 sebelum Morales melengkapkan keputusan perlawanan dalam waktu kecederaan.

Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro