Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) pada Khamis mengesahkan hanya lima daripada 10 pasukan sahaja sudah mengemukakan rayuan berkaitan kegagalan melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M), sejak minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata daripada lima pasukan itu, dua melibatkan pasukan Liga Super manakala tiga lagi pasukan Liga Premier.

Atas kegagalan melengkapkan pendaftaran, empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC dikenakan hukuman pemotongan mata dan denda RM1.5 juta manakala enam pasukan Liga Premier iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA serta UKM FC dikenakan denda sebanyak RM500,000 atas kesalahan yang sama.

Pada 6 Mac lepas, mesyuarat jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi tempoh 14 hari untuk pasukan terbabit mengemukakan rayuan.

"Bila tarikh tutup rayuan berakhir Selasa ini, kita beritahu pasukan mana sudah buat rayuan," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan bersama Presiden La Liga, Javier Tebas, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kevin berkata pihaknya sudah membuat pembayaran geran tahunan berjumlah RM3 juta kepada setiap pasukan Liga Super dan RM1 juta buat pasukan Liga Premier, pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, pembayaran geran bagi pasukan yang dikenakan denda terbabit disekat sebahagian mengikut jumlah denda yang dikenakan dan baki bayaran terbabit akan dibuat selepas keputusan rayuan diperoleh.

Katanya, bagi mengekang kecurian hak penyiaran perlawanan atau penyiar haram termasuk menerusi laman Facebook dan Youtube, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan La Liga.

"Ini salah satu benda yang kita kerjasama dengan La Liga di mana La Liga ada sistem 'marauder' iaitu sistem mengesan siaran secara haram. Kita akan laksana dan sedang bincang dengan La Liga," katanya.

Sementara itu, Tebas berkata beliau percaya Liga-M berpotensi berkembang dan mengambil masa untuk menjadi salah satu liga paling kompetitif di Asia.

"Mungkin ia berlaku selepas perjanjian tiga tahun antara La Liga dan FMLLP," katanya.

Pada Januari lalu, FMLLP memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama La Liga dalam usaha meningkatkan lagi kualiti Liga-M.

-- BERNAMA