Berita  | Sukan

Lin Dan 'tembok' Chong Wei

Lin Dan 'tembok' Chong Wei
Seberapa kuat mental bekas pemain nombor 1 dunia dan juara kebangsaan 10 kali ini, Chong Wei hanyalah manusia biasa yang adakalanya sudah meletak tembok dihadapannya. - Gambar fail
ANDA pernah merasai kekecewaan apabila usaha terbaik masih tidak cukup untuk berjaya atau menang?

Maaf Malaysia.

Realitinya Lin Dan lebih baik daripada hero badminton kita, Datuk Lee Chong Wei.

Tewas kepada Lin Dan, jika bukan pemain terbaik sekurang-kurangnya antara pemain terbaik yang pernah dilahirkan dalam dunia badminton, melebarkan rekod kemenangan juara dunia 5 kali dan pemenang pingat emas dalam 2 edisi Sukan Olimpik dari China ini kepada 28 kali daripada 40 pertemuan menentang Chong Wei.
Musuh di dalam gelanggang, kawan di luar gelanggang Lin Dan dan juara bertahan All England Chong Wei kini masing-masing pada usia 34 dan 35 tahun tidak menunjukkan sebarang masalah daripada segi kelancaran pergerakan dalam gelanggang dan kepantasan mereka amat menakjubkan.

Namun ‘Super Dan’ acapkali menang pada situasi penting dalam gelanggang dan ada kemungkinan kelebihan kekuatan mental, keyakinan dan skil 0.05% daripada juara All England 4 kali dari Pulau Pinang ini sudah cukup untuk menjadi penghalang terbesar Chong Wei.

Seberapa kuat mental bekas pemain nombor 1 dunia dan juara kebangsaan 10 kali ini, Chong Wei hanyalah manusia biasa yang adakalanya sudah meletak tembok di hadapannya yang sukar untuk dirobohkan apabila bertemu Lin Dan.

Pernah anda melalui situasi di mana ‘My very best is still not good enough’?

Kemungkinan besar inilah yang dilalui Chong Wei setiap kali bertemu Lin Dan.

Tetapi wahai hero Malaysia Chong Wei, lebih ramai rakyat Malaysia mengetahui perjalanan, pengorbanan dan usaha anda untuk menjadi yang terbaik di dunia dengan tayangan filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend yang menjadi inspirasi kepada semua.

Bangkitlah dan Malaysia akan terus menyokong anda!


*Sharon Wee merupakan pengulas sukan ternama tanah air dan juga penulis buat Astro Arena.

**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.