PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying, kini giat melalui proses pemulihan kecederaan lutut demi hasratnya untuk kembali beraksi buat kali pertama musim ini, Mac nanti.

Liu Ying dan gandingannya Chan Peng Soon, tidak beraksi bersama sejak kali terakhir dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau pada November tahun lalu.

Selepas kejohanan itu, Liu Ying mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak dengan membuat penampilan hanya dalam Purple League.

Perkembangan terkini menyaksikan Liu Ying sudah mula berlatih di atas gelanggang selepas sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

"Berlatih di gelanggang 30 peratus sahaja dan selepas kaki saya pulih daripada kecederaan, barulah saya akan bermain sepenuhnya di gelanggang.

Liu Ying meletakkan Mac sebagai penanda aras untuk kembali beraksi di pentas kompetitif, termasuk penampilan dalam Seluruh England.

Malah, Liu Ying menjadikan perkembangan positif skuad beregu campuran secara keseluruhan sebagai penyuntik semangat.

"Ia adalah kecederaan lama, mungkin ia berpunca daripada permainan keras saya. Saya tidak boleh jaga. Semasa bermain, ada tempat yang sakit. Saya harap dapat bermain secepat mungkin," katanya.

Liu Ying dan Peng Soon cukup serasi sejak digandingkan bersama pada 2008 sehinggalah menghuni ranking ketujuh dunia ketika ini.

Pastinya, detik manis melangkah ke final Sukan Olimpik Rio akan diingati sebagai saat terbaik kerjaya mereka pada 2016.