PERMULAAN hambar buat Liverpool memasuki tahun 2017 berterusan apabila tewas 2-1 kepada Wolverhampton di Anfield, sekaligus tersingkir daripada saingan Piala FA, malam ini.

Richarde Stearman membuka tirai jaringan 50 saat selepas sepak mula sebelum Andreas Weimann meledak gol kedua di hujung babak pertama dengan jaringan Divock Origi untuk pasukan tuan rumah tiba terlalu lewat.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan memasuki tahun baru, menyaksikan mereka kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea, di samping terkandas di peringkat separuh akhir Piala EFL.

Kegagalan dalam saingan Piala EFL dan di peringkat liga bermakna Piala FA merupakan medan terbaik bagi merebut sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.

Namun, Klopp memilih untuk melakukan eksperimen dengan menurunkan pemain muda, antaranya Ben Woodburn, Ovie Ejaria, Connor Randall dan Joe Gomez.

Ia satu keputusan yang ternyata membawa padah apabila Liverpool bolos dua kali dalam babak pertama.

Walaupun sempat merapatkan jurang pada minit ke-86 menerusi Origi, namun ia sudah terlalu lambat tatkala impian mereka untuk mengakhiri musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan musnah.

Wolves memulakan perlawanan dengan cukup mantap menerusi tandukan Stearman selepas menerima hantaran sepakan percuma Helder Costa.

Ia merupakan gol pertama Stearman buat Wolves sejak kali terakhir melakukannya pada April 2014.

Kelab wakil Liga Kejuaraan itu mengundang pelbagai masalah kepada Liverpool dan hampir di depan menerusi Costa yang membuat larian dari tengah padang sebelum gagal melakukan penyudah kemas.

Di hujung babak pertama, Liverpool sekali lagi dihukum apabila larian Costa berjaya mengetepikan cabaran Alberto Moreno sebelum membuat hantaran kepada Weimann bagi melakukan penyudah kemas selepas berjaya melepasi penjaga gol, Loris Karius.

Liverpool membawa masuk Philippe Coutinho dalam babak kedua dan akhirnya berjaya melakukan percubaan tepat yang pertama menerusi rembatan lemah pemain Brazil itu yang mudah ditangkap Harry Burgoyne.

Gol The Reds hadir pada minit ke-86 menerusi percubaan jarak dekat Origi selepas menerima hantaran Daniel Sturridge -- yang dibawa masuk menggantikan Roberto Firmino -- namun ia sudah terlambat.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menghadiahkan kemenangan bergaya buat Wolves.