Tutup

Berita  | Sukan

Liverpool jauh lebih hebat daripada Manchester United musim ini

Liverpool jauh lebih hebat daripada Manchester United musim ini
Xherdan Shaqiri (kanan) meraikan gol ketiga Liverpool ke atas Manchester United pada Ahad. - Foto AP Photo/Rui Vieira
SELEPAS lapan perlawanan akhirnya Liverpool berjaya menewaskan seteru utama mereka, Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (PL).

Kejayaan lebih manis dengan menjaringkan tiga gol ke atas pasukan the Red Devils itu, termasuk dua gol di hadapan tempat duduk penyokong tegar di bahagian Kop End oleh pemain yang semakin mencuri perhatian ramai peminat Liverpool, Xherdan Shaqiri.

Lebih malang ia merupakan kekalahan pertama pengurus United, Jose Mourinho di Anfield dalam PL kepada Liverpool sejak Januari 2007.

Kemenangan 3-1 ke atas Manchester United pada Ahad itu membolehkan the Reds kembali ke puncak liga, 19 mata di hadapan United yang kekal di tangga keenam liga.

Liverpool berada di tangga teratas liga dengan melebarkan rekod tanpa kalah kepada 18 perlawanan, yang juga merupakan rekod baharu bagi kelab tersebut.

Namun perjalanan untuk merangkul kejuaraan liga utama Inggeris pertama sejak 1990 masih jauh dan sukar dengan cabaran sengit yang diberikan juara bertahan, Manchester City yang berada di tempat kedua, satu mata di belakang Liverpool.
Kehebatan Liverpool di Anfield semalam diukur dengan data perlawanan

Dalam perlawanan pada Ahad itu, Liverpool ternyata tidak memberi ruang langsung kepada United untuk memegang bola apabila memiliki 64% peratus penguasaan permainan dan melepaskan 36 percubaan ke arah gawang United.

Ia merupakan jumlah percubaan yang tertinggi sebuah pasukan berjaya lakukan ke atas gawang United sejak data dikutip oleh Opta pada musim 2003/04.

Manakala United hanya berjaya membuat enam percubaan ke arah gawang Liverpool dengan hanya dua cubaan tepat ke arah gawang berbanding 11 yang dibuat Liverpool.

Dominasi Liverpool turut ditunjukkan menerusi jumlah sepakan sudut yang diperoleh iaitu 11 sepakan sudut berbanding hanya dua oleh United.
United juga melakukan 14 faul ke atas pemain Liverpool berbanding hanya enam yang dipersalahkan ke atas pemain tuan rumah.

Shaqiri yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 dengan mengambil alih tempat Naby Keita, terus memberikan impak apabila meledak gol kedua the Reds pada minit ke-73 sebelum memastikan kemenangan memihak kepada pasukannya dengan gol ketiga pada minit ke-80.

Sebelum itu, the Reds berada di depan menerusi jaringan Sadio Mane pada minit ke-24, yang merembat masuk gol hasil hantaran lambung cantik yang dibuat Fabinho.

Sadio Mane menjaringkan gol pertama Liverpool menentang Manchester United pada Ahad.

United berjaya menyamakan kedudukan 9 minit kemudian apabila penjaga gol Liverpool, Alisson Becker gagal mendakap kemas hantaran silang Romelu Lukaku, membolehkan Jesse Lingard menolak masuk bola ke dalam gawang.

Shaqiri merupakan pemain kedua Liverpool dalam sejarah kelab itu berjaya menjaringkan dua gol ke atas United dan sejak berhijrah ke Anfield musim ini, dia sudahpun menjaringkan lima gol dalam saingan PL.

Alisson Becker membuat satu kesilapan yang memberikan gol penyamaan kepada United.

Mohamed Salah muncul penjaring terbanyak Liverpool dengan 10 gol, berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak PL dengan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang.

Tonton semula kejayaan manis Liverpool mengatasi United di Anfield pada Ahad di saluran Youtube Astro Supersports.


Tag: Liverpool lawan Manchester United, Anfield, KOP, Red Devils, Xherdan Shaqiri, Naby Keita, Sadio Mane, Mohamed Salah, Fabinho, Alisson Becker


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.