MANCHESTER CITY perlu akur bahawa pencabar kejuaraan, Liverpool, adalah pasukan yang terbaik di dunia buat masa ini.

Demikian kata pengurus City, Pep Guardiola yang memberi tafsiran bahawa hanya The Reds yang mampu menghalang pasukannya untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Jika kami meraih 100 mata musim lepas, kemudian musim ini memperoleh 44 mata dalam pusingan pertama, jumlahnya (akan menjadi) 88 mata keseluruhan jika kami mendapat keputusan yang sama. Harapnya kami boleh buat lebih baik.

“Kami telah melakukannya dengan baik. Masalahnya adalah pasukan satu lagi itu menakjubkan, mungkin yang terbaik di Eropah atau di dunia sekarang,” jelas Guardiola selepas pasukannya menundukkan menundukkan Sunderland 3-1 pada Ahad.

BACA: Bonus RM712,566 untuk Firmino

BACA: Liverpool mampu menyamai rekod kebal Arsenal

BACA: Liverpool lebar penguasaan di puncak liga

Kemenangan itu merapatkan jurang mata dengan Liverpool di persada kepada tujuh mata, selepas menanggung tiga kekalahan kepada Chelsea, Crystal Palace dan Leiccester City dalam bulan Disember.

Sementara Liverpool cemerlang sepanjang bulan yang disifatkan waktu paling sukar dalam saingan EPL, menang kesemua tujuh perlawanan dan menutup tirai 2018 dengan kemenangan bergaya membenam Arsenal 5-1 di Anfield.

Bagaimanapun, Guardiola enggan mengangkat bendera putih awal dan menyatakan masih ada waktu sebelum juara musim ini dinobatkan.

“Kami perlu mengakuinya. Apa yang kami boleh buat adalah terus bekerja, bermain cara kami, dan selepas itu kita akan lihat bagaimana,” ujarnya.

Kedua-dua pasukan akan bertembung pada awal pagi Jumaat (waktu Malaysia) di Stadium Etihad, perlawanan yang dikatakan penentu awal kepada siapakah yang bakal menjulang gelaran juara EPL musim 2018/2019.

Jika kemenangan berpihak kepada Liverpool, mereka akan selesa menjarakkan diri 10 mata dengan City dan menjadi pilihan untuk memenangi liga sejak kali terakhir pada 1990.

Namun, masih ada 17 perlawanan selepas itu. Bola itu bulat, macam-macam boleh terjadi sehingga berakhirnya saingan musim ini.