PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan bahawa pasukannya masih menikmati tekanan dalam pemburuan kejuaraan musim ini.

Tatkala Manchester City memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, Liverpool menguasai puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kempen musim ini hanya berbaki empat perlawanan.

Menghampiri kejuaraan liga pertama sejak 1990 -- sambil membuat persiapan menghadapi pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Barcelona -- Klopp mendakwa dia menikmati tekanan itu.

"Kami masih tidak berasa tertekan. Kami melihat dan menyifatkannya sebagai satu peluang. Kami sudah terbiasa dengan cabaran sebegitu dan dengan corak permainan kami ketika ini -- kebiasaannya ia menjadi positif," katanya kepada akhbar UK.

"Ia merupakan perlawanan yang getir, ia satu tempoh yang menarik dan begitu positif, kami amat menikmatinya. Bagus untuk terlibat dalam dua kejohanan. Ia satu petanda yang baik.

"Inilah detiknya bagaimana anda mengadunkan potensi dengan sikap anda. Jelas sekali kami mempunyai pemain yang bagus dan menggabungkannya dengan sikap bertaraf dunia. Kami melakukan itu dari hari pertama musim ini lagi dan setakat ini ia berhasil -- kami sebuah pasukan yang sukar ditentang," ujarnya.

Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya sebagai pengurus Liverpool pada Oktober 2015, Klopp yakin dia akan meraih sekurang-kurangnya satu gelaran dalam masa empat tahun.

Walaupun mara ke tiga perlawanan akhir, dia masih gagal melaksanakan misinya tetapi pengurus berbangsa Jerman itu -- yang menandatangani kontrak baru selama enam tahun, pertengahan 2016 lalu -- gembira dengan kedudukan semasa Liverpool.

"Ramai orang mengingatkan saya bahawa ketika saya mula-mula datang ke sini, saya menandatangani kontrak selama tiga tahun sambil berkata akan memenangi sesuatu dalam dalam tempoh empat tahun jika saya masih kekal di sini," kata Klopp.

"Beginilah, kedua-dua pihak -- baik kelab mahupun saya sendiri -- mencurahkan komitmen yang hebat dan kami benar-benar memerah keringat untuk menjadikan kelab ini berjaya.

"Berapa lama tempoh yang diperlukan (untuk berjaya), saya tidak tahu tetapi saya sangat gembira dengan kedudukan kami ketika ini."

Liverpool akan meneruskan perjuangan dalam liga apabila bertandang ke Cardiff City, esok.