JULEN Lopetegui melahirkan penghargaannya kepada Real Madrid dan peminat kelab tersebut selepas dipecat sebagai pengurus, awal pagi tadi.

Pengurus berusia 52 tahun itu secara rasmi dipecat berikutan kekalahan memalukan 1-5 dalam aksi 'El Clasico' di tangan Barcelona semalam sungguhpun terdapat laporan mengatakan keputusan telah pun dibuat setelah mereka tewas 1-2 kepada Levante, hujung minggu lalu.

Madrid mengeluarkan satu kenyataan untuk mengesahkan pemecatan Lopetegui yang kedengaran seperti mengkritik bekas jurulatih Sepanyol berkenaan kerana gagal memanfaatkan skuad berbakat dengan mengatakan, 'terdapat ketidaksepakatan dalam kalangan kualiti skuad yang mempunyai lapan pemain yang dicalonkan untuk Ballon d'Or".

Bagaimanapun, Lopetegui enggan menempelak barisan lembaga pengarah Madrid, sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berkaitan dengan kelab itu.

"Selepas keputusan yang diambil oleh lembaga pengarah Real Madrid, saya ingin berterima kasih kepada kelab atas peluang yang mereka berikan kepada saya," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada EFE.

"Terima kasih kepada pemain atas usaha dan tugas yang mereka telah lakukan. Begitu juga kepada setiap pekerja kelab kerana memberikan layanan yang baik.

"Saya berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka. Saya mengucapkan selamat maju jaya pada musim ini."

Pengurus Real Madrid Castilla, Santiago Solari, akan bertindak sebagai pengurus sementara pasukan utama tatkala pengganti jangka panjang sedang dicari.

Antonio Conte merupakan calon utama untuk tugasan itu, begitupun laporan mendedahkan bekas pengurus Chelsea dan Juventus itu tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan Madrid.