JORGE LORENZO akan memulakan Grand Prix (GP) San Marino di kedudukan hadapan untuk Ducati mengintai kemenangan pertama di Misano sejak 2007 sambil Marc Marquez ditimpa kemalangan di peringkat kelayakan pada Sabtu.

Pelumba Sepanyol berkenaan mencatat masa 1 minit 31.629 saat untuk merakam rekod baharu pusingan di litar yang pernah menjulangnya sebagai juara sebanyak tiga kali sepanjang kerjayanya dalam kancah MotoGP.

Ia merupakan pencapaian kedua berturut-turut buat Lorenzo - dia menduduki tangga teratas dalam GP British, namun perlumbaan di Silverstone itu dibatalkan akibat trek basah.

Jack Miller memastikan Pramac yang dipacu oleh jentera Ducati di tempat kedua manakala Maverick Vinales melengkapkan barisan hadapan selepas penunggang Yamaha tersebut menamatkan sesi kelayakan di depan Andrea Dovizioso dalam pusingan akhir.

Sementara itu, Marquez terpaksa akur di tempat kelima setelah mengalami kemalangan buruk.

Pendahulu kejuaraan itu bersaing sengit dengan rakan senegara, Lorenzo, sebelum terpaksa keluar di selekoh ke-15 lalu menuju ke garaj untuk menggunakan motosikal simpanan.

Walaupun bergegas berlari dengan kelajuan yang sangat baik, Marquez tidak dapat memperbaiki masa terbaik dalam tunggangannya, sekali gus memaksanya untuk bekerja keras seandainya berhasrat meraih kemenangan buat tahun kedua berturut-turut.

Cal Crutchlow akan memulakan perlumbaan dari petak keenam di depan Valentino Rossi dan Danilo Petrucci sementara Johann Zarco dan Alex Rins melengkapkan 10 petak hadapan.

Pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah, pula akan memulakan perlumbaan esok di tempat ke-25.