Penjaga gol Liverpool, Loris Karius, menamatkan tempoh pinjamannya selama dua tahun di Besiktas berikutan perselisihan mengenai pembayaran gaji.

Karius menyertai kelab Liga Super Turki berkenaan sejak Ogos 2018 tetapi mengumumkan tindakannya itu di Instagram semalam dengan mengatakan "sangat memalukan jika ia berakhir seperti ini".

Pemain berusia 26 tahun itu akan kembali ke Anfield membuat 67 penampilan untuk Besiktas.

Besiktas mengadu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan lalu, kali kedua dia melakukannya yang membabitkan isu gaji yang tidak dibayar.

Tindakan penjaga gawang dari Jerman itu mengakhiri tempoh pinjaman biarpun sebelum ini diura-ura akan membuat perpindahan tetap.

"Anda semua harus tahu bahawa saya telah mencuba segala-galanya untuk menyelesaikan keadaan ini tanpa masalah," tambahnya dalam catatannya itu yang disertai beberapa video kenangannya bersama Besiktas.

"Saya sudah bersabar selama berbulan-bulan dengan memberitahunya berulang-ulang kali kepada ahli lembaga pengarah. Perkara yang sama pernah berlaku tahun lalu.

"Sayangnya mereka belum berusaha menyelesaikan situasi ini bahkan menolak cadangan saya yang dipotong gaji."

Karius, yang menyertai The Reds daripada Mainz pada 2016, mengucapkan terima kasih kepada pemain, kakitangan dan penyokong Besiktas.

"Adalah penting bagi saya untuk anda semua tahu bahawa saya sangat seronok beraksi bersama kelab ini," katanya.

"Besiktas boleh berbangga kerana memiliki peminat yang begitu bersemangat berdiri di belakang mereka. Mereka selalu memberikan sokongan yang luar biasa. Anda semua sering menyokong saya dalam tempoh yang baik dan buruk jadi saya akan selalu mengingati anda dengan cara yang terbaik!

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan, barisan kejurulatihan termasuk semua orang yang bekerja untuk kelab ini. Anda menyambut saya dengan tangan terbuka sejak hari pertama -- terima kasih banyak!"