Penganjuran Le Tour de Langkawi 2019 (LTDL) ditunda selepas Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat kabinet semalam kerana tidak mahu dua program besar berlangsung pada tarikh yang sama.

“Kita tak mahu ada dua program antarabangsa di Langkawi bertindih dan Perdana Menteri pandang serius kerana dua program ini adalah buah fikiran beliau.

“Kita nak bahagikan dua fasa tarikan antarabangsa iaitu LIMA dan LTDL kerana kami mahu liputan meluas media tidak terbahagi dua,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian belia dan Sukan, Lokman Hakim Ali, persatuan dan pihak penganjur.

Pihak berkaitan juga sudah berbincang bagi menetapkan tarikh baharu LTDL.

LIMA 2019 dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac, manakala jadual asal LTDL ialah pada 24 hingga 31 Mac.

Media sebelum ini melaporkan, LTDL 2019 tidak patut ditunda ke tarikh lain kerana ia mendatangkan banyak masalah kepada semua pasukan lumba khususnya sudah membuat pengesahan awal.

Pengurus Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahit berharap khabar angin mengenai cadangan penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd menunda perlumbaan itu ke tarikh baharu tidak berlaku.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas townhall ‘Anok Mudo’ di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, di sini, pada petang Khamis.