WATFORD 1 MANCHESTER UNITED 2

Manchester United mempamerkan aksi paling cemerlang musim ini untuk membolehkan mereka menundukkan Watford 2-1 di Vicarage Road, sekali gus menamatkan rekod kemenangan 100 peratus tuan rumah bagi saingan 2018/19, semalam.

Kekalahan bakal menyaksikan United gagal meraih mata dalam tiga daripada lima perlawanan liga buat kali pertama, namun mereka meneruskan kecemerlangan ketika mengatasi Burnley sebelum ini dengan mengekang Watford.

Walaupun Watford beraksi dengan baik, United memusnahkan dominasi tuan rumah itu dalam babak pertama menerusi jaringan Romelu Lukaku dan Chris Smalling yang terhasil dalam masa tiga minit 11 saat.

Watford membuatkan perlawanan lebih menarik apabila Andre Gray menyumbat gol pada minit ke-65 tetapi United kekal bertahan untuk mengesahkan tiga mata walaupun beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap Nemanja Matic dalam waktu kecederaan.

Keyakinan jelas dipamerkan dalam permainan Watford, yang menyaksikan Troy Deeney hampir membuka tirai jaringan tetapi David De Gea menjadi penyelamat United untuk menafikan usaha penyerang itu.

United tampak mengawal setiap asakan tuan rumah tetapi De Gea muncul wira menghalang dua percubaan berbahaya di penghujung babak pertama.

Lukaku memecah kebuntuan apabila menyambung hantaran lintang Ashley Young 10 minit sebelum rehat sebelum tandukan Marouane Fellaini hasil sepakan sudut membolehkan Smalling mengejutkan tuan rumah dengan gol kedua.

United tampak hilang arah selepas rehat dan Watford menggunakan kesempatan itu dengan mengurangkan defisit gol menerusi Gray yang melepaskan tendangan tepat ke penjuru kanan gol selepas menerima hantaran leret Abdoulaye Doucore.

Malang buat Watford tatkala jaringan itu tidak membawa kepada kebangkitan dan hasrat United untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut seperti diragut apabila Matic dilayangkan kad merah, namun De Gea menafikan usaha Christian Kabasele yang berpunca daripada sepakan percuma.