Jose Mourinho sekali lagi mempertahankan persembahan Romelu Lukaku, melabelkan penyerang itu sebagai pemain "tidak boleh disentuh" dalam pasukan Manchester United.

Pemain antarabangsa Belgium, Lukaku, menikmati tempoh awalnya di United, mencatat 11 gol dalam 10 penampilan pertamanya selepas menyertai pasukan dari Everton dengan £75 juta (RM420 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu gagal memburu gol daripada lima perlawanan terakhir United tetapi Mourinho menganggap pemain itu kekurangan sokongan dalam perlawanan, yang menyaksikan Marcus Rashford digantikan dengan penjaring gol kemenangan, Anthony Martial, ketika menewaskan Tottenham 1-0, kelmarin.

Zlatan Ibrahimovic yang hampir kembali selepas pembedahan ke atas ligamen lutut juga mungkin menjejaskan kedudukan Lukaku, bagaimanapun, Mourinho yang bercakap menjelang pertemuan menentang Benfica dalam Liga Juara-Juara esok, menegaskan pemain itu tidak perlu bimbang dengan tempatnya.

"Bagi saya, dia tidak boleh disentuh. Tidak boleh dipertikaikan mengenai sokongan dan penghormatan daripada peminat.

"Tetapi, saya ulangi, peminat adalah peminat, mereka membayar tiket dan mereka melakukan apa yang mereka mahu, tetapi sebagai pengurus, saya rasa ia tugas saya untuk melindungi pemain apabila saya rasakan mereka berhak," kata bos United itu kepada pemberita.

Mourinho berasakan prestasi hujung minggu Lukaku berdepan barisan pertahanan Tottenham adalah gambaran kepada prestasi baiknya.

"Saya tidak fikir dia diam.

"Tanyalah kepada (Toby) Alderweireld, (Jan) Vertonghen dan (Eric) Dier sama ada dia diam. Dan mereka adalah pertahanan tengah terbaik dalam bola sepak," katanya.

United akan memastikan tempat dalam pusingan 16 terakhir jika mereka mengalahkan Benfica, dan CSKA Moscow gagal melakukannya ke atas Basel.

Benfica masih gagal mengumpul sebarang mata selepas tiga perlawanan -- satu keadaan yang mengejutkan Mourinho selepas pasukannya terpaksa bertahan dengan kemenangan 1-0 di Estadio de Luz, 19 Oktober lalu.

"Pemain berasakan ia agak mudah untuk menang menentang CSKA dan Basel. Mereka juga berasa sukar untuk mengalahkan Benfica, ia mungkin cukup mudah berakhir dengan 0-0 atau 1-1.

"Benfica lebih baik daripada dua pasukan itu secara taktikal dan kolektif. Sudah tentu saya tidak kecewa dengan prestasi Benfica setakat ini, tetapi kadang-kadang keputusan buruk dalam perlawanan pertama dapat memberi anda perasaan yang lebih baik dalam baki perlawanan.

"Saya menilai semula perlawanan Bencifa menentang CSKA (kalah 2-1 di laman sendiri) dan mendapati agak sukar untuk memahami bagaimana mereka kalah perlawanan itu," katanya.