KELAB terkemuka Sepanyol, Real Madrid berjaya melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas menang ke atas pasukan Paris St Germain (PSG) dengan agregat 2-5 di Parc des Princes, Paris.

Real Madrid yang berbekalkan tiga jaringan hasil perlawanan pertama di Santiago Bernabeu terpaksa menunggu di babak kedua bagi membuka jaringan hasil tandukan padu Cristiano Ronaldo yang menerima hantaran silang sebelah kiri rakan sepasukan pada minit ke 51.

PSG yang beraksi tanpa kelibat ayam tambatan, Neymar akibat kecederaan terus tertekan apabila pemain tengahnya Marco Verrati menerima kad kuning kedua selepas mengkritik tindakan pengadil ketika perlawanan masuk minit ke 66.

Wakil Perancis itu yang terpaksa bermain dengan 10 pemain bagaimanapun enggan mengalah apabila penyerang kelahiran Uruguay, Edinson Cavani menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian.

Perlawanan terus rancak dengan kedua-dua saling berbalas serangan, namun Real Madrid ternyata lawan sukar ditandingi apabila Casemiro menyumbat gol kedua pelawat akibat kealpaan barisan pertahanan PSG.

Jaringan kedua Real Madrid sekali gus menyaksikan kelab itu berjaya tersenarai antara lapan pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Liverpool hanya meraih keputusan seri menentang Porto di Anfield.

Liverpool bagaimana pun layak ke pusingan seterusnya hasil agregat 0-5 pada perlawanan pertama di laman lawan.