Malaysia mara ke final selepas menewaskan juara bertahan, India 7-6 menerusi penentuan penalti yang penuh dramatik.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu dua kali bangkit dari ketinggalan untuk mengheret permainan ke pukulan penalti.

Dalam suku pertama permainan, Malaysia berjaya menjaringkan gol menerusi satu gerakan sudut penalti namun gol tersebut dibatalkan.

Video umpire yang menyaksikan insiden itu mengesahkan bola terkena kaki Shahril Saabah sebelum hantaran dibuat kepada Firhan Ashari untuk menjaringkan gol.

India mendahului permainan melalui Harmanpreet Singh pada minit ke-33 menerusi gerakan sudut penalti.

Malaysia mendapat gol penyamaan dalam babak kedua, selepas melancarkan satu serangan balas pada minit ke-40.

Pukulan Fitri Saari terkena penjaga gol India namun Faizal Saari pantas menolak masuk bola ke dalam gol susulan halangan itu.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama selepas India kembali di depan kurang seminit selepas gol penyamaan Malaysia, menerusi Varun Kumar selepas mendapat pukulan sudut penalti.

Ketika permainan berbaki kurang dua minit, Malaysia dihadiahkan satu pukulan sudut penalti.

Peluang tersebut diambil untuk menyamakan kedudukan menerusi Razie Rahim, memaksa pemenang ditentukan menerusi pukulan penalti.

Saingan penalti berlangsung sengit dimana India mengheret Malaysia sehingga ke sudden death.

Namun ketenangan pemain negara dan kehebatan penjaga gol, S kumar memastikan Malaysia mencatat kemenangan 7-6, selepas menyelamatkan cubaan Sunil Vitalacharya Sowmarpet.

Malaysia akan betemu Pakistan atau Jepun yang beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pada hari yang sama.