KETIADAAN aksi persahabatan antarabangsa pada awal tahun ini menyaksikan skuad bola sepak negara mengekalkan kedudukan ke-167 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi bulan ini.

FIFA menerusi kemas kini kedudukan ranking di laman sesawangnya, www.fifa.com, pada Khamis memaklumkan Malaysia mengumpul 985 mata untuk berada dalam kelompok beberapa negara lain seperti Belize (160), Nepal (161) dan Gambia (166).

Kedudukan terbaru itu, bagaimanapun, tidak mengubah nasib skuad Harimau Malaya yang masih ketinggalan jauh berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam di kedudukan ke-99, Thailand (115), Filipina (123) dan Myanmar ke-138 dunia.

Juara tiga kali Piala Asia, Iran, kekal unggul selaku pasukan terbaik Asia selepas naik tujuh anak tangga ke tempat ke-22, diikuti Jepun (27) dan Korea Selatan yang berada pada kedudukan ke-38 dalam kalangan 46 negara Asia yang tersenarai dalam ranking FIFA.

Tiga tempat teratas turut kekal dengan naib juara Piala Eropah 1980, Belgium, mengekalkan kedudukan sebagai pasukan nombor satu dunia dengan 1,727 mata, disusuli juara Piala Dunia 2018, Perancis, menduduki tangga kedua selepas ketinggalan satu mata di belakang Belgium.

Sementara itu, juara Piala Dunia lima kali, Brazil, kekal di tangga ketiga selepas mengumpul 1,676 mata.

Ranking bulanan FIFA itu melibatkan 211 negara.