Ketiadaan aksi persahabatan antarabangsa menyaksikan skuad Harimau Malaysia kekal pada kedudukan ke-161 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan ranking terbaru dikeluarkan menerusi laman web FIFA, www.fifa.com, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kekal menghuni kedudukan yang sama dilakar pada Disember 2016.

Untuk rekod, kedudukan terbaik Malaysia dalam ranking FIFA pada 2016 adalah posisi ke-158 dunia yang dicatat pada bulan September.

Di peringkat Asia, skuad Harimau Malaysia kekal di tangga ke-31 dalam kalangan 46 negara.

Skuad kebangsaan turut kekal pada kedudukan kelima dalam kalangan negara ASEAN dengan Filipina berada di tangga pertama selepas menduduki posisi ke-122, Thailand (126), Vietnam (136) dan Myanmar (159).

Ranking terbaru itu meletakkan skuad negara setanding dengan beberapa negara membangun yang lain seperti Kepulauan Aruba (160), Macedonia (162) dan Moldova (164).

Dua pasukan benua Amerika Latin, Argentina dan Brazil mengekalkan kedudukan selaku dua pasukan terbaik dunia selepas masing-masing mengumpul 1,634 dan 1,544 mata, manakala juara Piala Dunia 2014, Jerman kekal di tangga ketigadengan kutipan 1,433 mata. Ranking bulanan FIFA melibatkan 209 negara.