Malaysia mampu muncul juara keseluruhan acara berbasikal pada Sukan SEA Kuala Lumpur yang bakal berlangsung Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya yakin skuad berbasikal negara mampu mempamerkan aksi cemerlang dan meraih pingat menerusi acara lebuh raya selain menyapu sebanyak mungkin pingat dalam acara keirin.

Keyakinan itu bersandarkan kepada reputasi cemerlang pasukan negara yang diketuai Mohd Azizulhasni Awang yang bergelar juara dunia acara keirin di Hong Kong baru-baru ini.

“Kita berharap Malaysia akan mendapat banyak pingat dari sukan basikal, kita sasarkan emas iaitu dalam acara trek di Velodrom Nilai dan acara lebuh raya kita berharap dapat pertahan pingat emas Sukan SEA lepas, di Singapura,” kata Khairy selepas merasmikan Program Kayuhan Santai Permatang Pauh sejauh 100 kilometer yang disertai lebih 800 peserta di sini, pagi tadi.

Katanya, kejayaan pelumba negara, Azizulhasni pasti akan memberi suntikan semangat kepada barisan pelumba lain yang akan membawa cabaran negara.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sasaran sebenar jumlah pingat emas acara berkenaan, Khairy berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana masih meneliti beberapa acara.

Pada Sukan SEA dua tahun lepas, pasukan negara berjaya membawa pulang dua pingat emas.