Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee sudah bersedia sekiranya pertembungan antara Malaysia dan Jepun pada aksi peringkat 16 terbaik acara bola sepak Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Kim Swee menjelaskan ia bukan petanda bahawa beliau akan mempertaruhkan strategi bertahan sehingga minit ke-120 untuk sekali lagi melakar kejutan dalam temasya itu.

Katanya, Jepun mempunyai strategi yang lebih rapi dalam merencanakan serangan berbanding pasukan yang ditewaskan barisan pemainnya dalam saingan Kumpulan E iaitu Korea Selatan.

"Pasukan perlu bersedia untuk bermain sehingga ke masa tambahan dan juga penentuan sepakan penalti. Kita juga ada melakukan latihan tersebut selepas aksi dengan Bahrain.

"Kita tahu pasukan Jepun lebih tersusun dari segi perancangan dan Korea Selatan pula mempunyai bintang-bintang yang boleh melakukan apa sahaja. Apa yang penting kita harus fokus terhadap apa yang ingin dilakukan dan pada masa sama bukan memikirkan hanya bertahan, tetapi kita perlu mendapatkan gol untuk mencapai kemenangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media Malaysia pada sesi latihan rasmi skuad negara di Padang B Stadium Gelora Bung Karno di sini, pada Khamis.

Sementara itu, berita gembira buat pasukan negara apabila Kim Swee mengesahkan penyerang, Muhammad Akhyar Abdul Rashid kini kembali berlatih seperti biasa selain mengakui bakal membariskan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan hari ini (Jumaat).

"Akhyar sudah mula berlatih dan kita akan lihat sejauh mana beliau boleh bermain hari ini.

"Sudah tentu saya akan menurunkan pasukan terbaik di mana kita bermain dengan Jepun dan bukannya pasukan biasa," tambahnya.

Aksi Malaysia berdepan Jepun akan berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi dan sekiranya anak buah Kim Swee berjaya melepasi cabaran skuad 'Samurai Biru' itu, menanti mereka di suku akhir adalah antara Arab Saudi dan China.

-- BERNAMA