Pemain-pemain Malaysia terus menampilkan persembahan yang hambar selepas gagal layak ke separuh akhir dalam acara trio pada Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat, lewat Khamis.

Dalam kategori wanita, trio Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman muncul pemain terbaik Malaysia selepas menduduki tangga ketujuh daripada 60 trio, dengan catatan 3,661 jatuhan pin dalam enam perlawanan pada pusingan kelayakan, menurut laman sesawang kejohanan www.2017wc.worldbowling.org.

Trio Malaysia yang lain terdiri daripada Sin Li Jane, Esther Cheah dan Shalin Zulkifli berada di tempat ke-14 dengan melakukan 3,593 jatuhan pin pada kejohanan empat tahun sekali itu yang berlangsung di South Point Bowling Plaza.

Dalam kategori lelaki, dua trio Malaysia - Adrian Ang, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Mohd Fishol serta Alex Liew, Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Muhammad Rafiq Ismail, masing-masing menduduki tempat ke-14 dan ke-17, daripada 72 trio selepas melakukan 3,641 jatuhan pin dan 3,620 jatuhan pin dalam enam perlawanan.

Hanya empat pasangan teratas dalam kedua-dua kategori aan melangkah ke separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia hanya berjaya meraih pingat perak dalam dalam acara beregu wanita menerusi Shalin dan Sin Li Jane pada Selasa.

-- BERNAMA