KETUA jurulatih skuad B-19 tahun negara, Bojan Hodak, ditunjukkan jalan keluar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali dari Croatia itu, hujung Julai ini.

Pemerhati sukan negara, Datuk Richard Scully, berasakan keputusan FAM itu wajar dihormati demi perkembangan bola sepak negara.

"Kita perlu menghormati keputusan FAM kerana mereka lebih arif mengenai apa yang diperlukan pada masa dan ketika ini.

"Apa yang penting adalah perjalanan dan perjuangan pasukan itu sendiri.

"Dalam sistem di mana-mana negara, jurulatih skuad B-17 akan menjadi pembantu kepada skuad B-18, jurulatih skuad B-18 akan menjadi pembantu kepada skuad B-19 dan begitulah kesinambungannya.

"Saya percaya kita tidak perlu menekan butang panik terhadap ketiadaan Bojan kerana ramai jurulatih sedia ada dalam sistem berkenaan.

"Kita tidak semestinya mengambil jurulatih baru dari luar kerana ia akan memakan masa," katanya.

Hodak dipercayai disingkirkan kerana pernah menyuarakan kritikan terbuka mengenai sistem pembangunan bola sepak di Malaysia.

Namun, FAM menafikan dakwaan itu dengan alasan keputusan itu dilakukan demi menerapkan falsafah baru dalam skuad pelapis kebangsaan.

Bagaimanapun, Richard mengambil pendekatan selamat dalam mengulas isu itu.

"Ia ibarat duit syiling yang mempunyai dua muka.

"Ia mungkin persepsi kerana ia telah berlaku dan umum boleh mengaitkannya dengan apa yang berlaku.

"Namun, berdasarkan konsep F:30, ia menerapkan falsafah bola sepak.

"Maknanya, inilah masanya untuk kita menjurus ke arah itu.

"Kita tidak boleh mengaitkan perkara lalu dengan apa yang sedang berlaku kerana ia mungkin sekadar persepsi," ujarnya.