PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menjangkakan saingan sengit menentang Brighton pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, yang akan berlangsung pada Ahad.

Guardiola masih tidak pasti sama ada Brighton, yang berjaya memberi tentangan untuk seri dengan Arsenal dan Newcastle dalam dua perlawanan sebelum ini, akan turun dengan taktikal bertahan atau menyerang.

“Kami akan melihat Brighton akan bertahan atau lebih kepada menyerang. Ia bukan satu perlawanan yang mudah tetapi kami berharap mampu mempamerkan prestasi untuk muncul juara,” kata Guardiola.

City hanya mendahului Liverpool yang menduduki tempat kedua dengan satu mata, perlukan kemenangan untuk mengelak dipintas the Reds pada perlawanan terakhir.

EPL musim 2018/19 menyaksikan perebutan takhta yang paling sengit kerana bukan sahaja dua pasukan teratas dipisahkan dengan hanya satu mata, malah perbezaan gol juga tidak begitu jauh, dengan Liverpool kurang empat gol berbanding City.

City yang mahu mengekalkan trofi EPL di Manchester, berada di puncak dengan 95 mata dan melakar 10 kemenangan berturut-turut dalam liga selepas kali terakhir tewas kepada Newcastle United pada 30 Januari tahun ini.

Dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium Etihad awal pagi Selasa, kapten pasukan Vicent Kompany menjaringkan gol kemenangan pasukannya hasil rembatan dari jarak jauh pada minit ke-70.

Ia memastikan the Citizens kembali ke puncak liga dengan 95 mata.

City terpaksa berhempas pulas untuk merobek pertahanan Leicester yang mantap, berjaya mengekang pelbagai percubaan pasukan tuan rumah.

Leicester juga mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan gol namun gagal menemui sentuhan penyudah selepas melancarkan beberapa serangan balas.



City akan bertandang ke Stadium Amex menentang Brighton pada 12 Mei manakala Liverpool akan menerima kunjungan Wolverhampton Wanderers di Anfield.

Kesemua perlawanan akan berlangsung serentak pada jam 10 malam.

Saksikan perlawanan Liverpool di Astro Supersport 3 saluran 816 SD, 834 HD manakala perlawanan City di Astro Supersport saluran 910, 831 HD dan juga di aplikasi Astro GO.