PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menganggap perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini melibatkan lebih daripada dua kelab.

Dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Everton awal pagi Khamis, Guardiola memberitahu selain pasukannya dan Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea dan Manchester United juga mampu muncul juara dengan musim ini berbaki 13 perlawanan lagi.

United masih belum tumpas sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pada 23 Disember dengan tujuh kemenangan dan satu seri dalam EPL.

Selepas 25 perlawanan, Liverpool mendahului kelompok lima pasukan terbaik ini dengan 61 mata, tiga mata di hadapan juara bertahan, City.

Spurs pula di tempat ketiga dengan 57 mata manakala Chelsea di tempat keempat dengan 50 mata diikuti United, kelima dengan 48 mata.

City yang bertandang ke Goodison Park mempunyai peluang untuk merampas kedudukan Liverpool sebagai pendahulu jika melakar kemenangan.

Ini kerana perbezaan jaringan memberi kelebihan kepada the Citizens, walaupun mereka berkongsi jumlah mata yang sama dan City beraksi dengan lebih satu perlawanan.

Liverpool pula perlu menang menentang Bournemouth pada Sabtu untuk kembali puncak liga.