SELEPAS gagal dalam cubaan membawa pemain Real Madrid, Alvaro Morata ke Old Trafford, Manchester United memilih untuk mendapatkan khidmat penyerang Everton, Romelu Lukaku.

Persetujuan bayaran £75 juta kepada Everton menyaksikan Lukaku, 24 tahun tidak akan kembali ke kelab lamanya, Chelsea dan akan ke Manchester.

Real Madrid menolak tawaran €75 juta daripada United apabila mahu sekitar €100 juta untuk Morata, sekaligus menyaksikan pengurus United, Jose Mourinho menaruh harapan kepada Lukaku.

Walaupun statistik Morata, 24 tahun lebih baik daripada Lukaku berdasarkan metrik 90 minit permainan, Lukaku sudah terbukti seorang penyerang yang prolifik di liga Inggeris (EPL) apabila menjadi penjaring kedua terbanyak.

Mari kita lihat data kedua-dua pemain tersebut.

Grafik Astro AWANI
Berdasarkan metrik setiap 90 minit perlawanan, Morata mempunyai mata keseluruhan yang lebih tinggi berbanding Lukaku, iaitu 34.49 berbanding 25.90 yang dicatat Lukaku di Everton musim lepas.

Morata turut di depan dari segi gol dijaringkan dengan 1.01 berbanding 0.69 buat Lukaku bagi metrik setiap 90 minit.

Bagaimanapun Lukaku berjaya meledakkan 25 gol dalam 37 perlawanan di EPL berbanding 15 dalam 26 yang dijaringkan Morata di La Liga musim lepas.

Morata pula lebih berkesan bagi setiap 90 minit untuk menjaringkan gol dengan menggunakan kepalanya.

6 gol dijaringkan Morata menggunakan kepala dalam 26 perlawanan manakala Lukaku 6 gol bagi 37 perlawanan di EPL.

Data ini penting bagi menggantikan penyerang yang tidak disambungkan kontrak di United, Zlatan Ibrahimovic, yang menjaringkan 17 gol dalam 28 perlawanan (4 tandukan, 13 dalam kotak penalti).

Grafik Astro AWANI
Dari segi jumlah keseluruhan, Lukaku mempunyai mata yang lebih tinggi namun beraksi lebih banyak perlawanan (37 perlawanan) dan juga masa permainan berbanding Morata (26).

Lukaku juga mempunyai kelebihan dari segi cubaan tepat ke arah gol, 64 peratus berbanding 63 peratus yang dibuat Morata.

Kedua-dua pemain juga amat efektif menjaringkan gol dalam kawasan penalti dan tidak begitu menjadi jika membuat cubaan dari luar kotak.

Dari segi keseluruhan, Lukaku adalah pemain yang lebih berpengalaman dengan 326 perlawanan di England dan Belgium sepanjang kerjayanya.

Dalam jumlah itu, Lukaku sudah menjaringkan 152 gol dan 56 bantuan gol.

Morata pula beraksi 206 perlawanan di Sepanyol dan Itali, dengan 70 gol dan 36 bantuan gol.

Lukaku juga kelihatan lebih kuat dari segi fizikal dan ia amat sesuai untuk berdepan pertahanan-pertahanan di England.

Kenapa Morata mahu meninggalkan Real Madrid?

Tidak menjadi pilihan utama pengendali Real, Zinedine Zidane turut menjadi faktor utama Morata mahu membangunkan kerjayanya bersama Mourinho di United.

Menurut laporan Sky Sports, Morata adalah pilihan kedua yang disenaraikan Mourinho kepada naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward dan cubaan untuk mendapatkan Lukaku sudah diusahakan dalam tempoh yang lama.

Dengan kehadiran Lukaku, Madrid harus memikirkan semula perancangan mereka untuk Morata.

Kemungkinan besar harga Morata akan dikurangkan dan United masih lagi boleh membuat tawaran untuk mendapatkan pemain Sepanyol itu.

Khabar angin juga menyebut bahawa Morata akan menyertai Chelsea dengan pengurus pasukan the Blues, Antonio Conte dikatakan berminat untuk membawanya ke Stamford Bridge bagi menggantikan Diego Costa.