PELARI maraton negara, Muhaizar Mohamad, membutirkan pingat gangsa keempat Malaysia selepas menamatkan saingan final kategori lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Putrajaya, sebentar tadi.

Kejayaan itu memahatkan satu sejarah baru Malaysia apabila meraih pingat pertama dalam acara itu, sekaligus menamatkan penantian negara dalam tempoh 44 tahun -- sejak edisi 1973 di Singapura.

Muhaizar mencatatkan masa 2 jam 31 minit 52 saat untuk menamatkan saingan di belakang pemenang, Guillaume Soh dari Singapura (2:29:27) dan diikuti oleh wakil Indonesia, Agus Prayogo (2:31:20) di tempat kedua.

"Sebenarnya sasaran saya lebih tinggi.

"Saya cuba untuk mengekori peserta Singapura dan Indonesia, namun sampai kilometer ke-30 saya dah mula ketinggalan gara-gara hanya menjalani latihan singkat.

"Saya dan Tan (Huong Leong) teruskan mencuba, dan kecederaan pelumba Thailand memberi semangat buat saya," kata Muhaizar yang merupakan askar komando dari Kem Terendak, Melaka.

Seorang lagi wakil negara, Tan Huong Leong, terlepas podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

"Saya gembira bagi pihak Muhaizar dan jelas dia lebih pantas berbanding saya," kata Huong Leong.

Dalam aksi yang bermula jam 6 pagi itu, pelari Thailand, Bhunthung Srisung, mengalami kekejangan otot ketika perlumbaan berbaki sembilan kilometer, sekaligus memberi laluan buat dua wakil Malaysia.