Bekas ratu trek negara, Datuk Marina Chin dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) Sukan SEA Malaysia 2017 manakala Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid pula untuk Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Marina merupakan Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan dan Mohamed Al Amin adalah Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan juga Naib Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Pelantikan ketua kontinjen negara tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam kenyataan hari ini selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Khairy berkata beliau yakin Marina mampu menaikkan semangat atlet untuk muncul juara keseluruhan temasya dwitahunan itu dengan kepakaran pengurusan, pemahaman tentang sukan dan sikap tegas dalam apa juga tugasan yang beliau pikul.

Katanya, pengumuman CDM untuk Sukan SEA 2017 dilakukan dua tahun lebih awal bagi memastikan persiapan atlet melalui 'Program Kita Juara' dapat dipantau dengan awal dan teliti dalam usaha Malaysia untuk menjadi johan keseluruhan.

"Ini adalah pengumuman CDM terawal yang pernah dilaksanakan bagi temasya sukan antarabangsa. Saya berharap dengan pengumuman ini dapat meniupkan semangat wira-wira negara untuk mengerah sepenuh tenaga bagi mengibarkan Jalur Gemilang dalam Sukan Olimpik 2016 dan Sukan SEA ke-29," katanya.

Marina merupakan atlet negara yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan olahraga di peringkat serantau dan Asia dan pernah mencatatkan rekod kebangsaan dalam acara 100m lari berpagar, 200m dan 400m pada tahun 1970-an.

Beliau memenangi acara pecut 100m dan 200m pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan acara 100m berpagar pada edisi 1979 di Jakarta.

Marina telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan dan Olahragawati Selangor untuk dua tahun berturut-turut pada 1976 dan 1977 dan pada tahun 2013, menerima Anugerah Wanita Sukan MOM di atas sumbangan beliau kepada sukan Malaysia.