GANDINGAN Henrikh Mkhitaryan dan Mesut Ozil tampak mampu menjanjikan sesuatu, menurut ketua pasukan Arsenal, Per Mertesacker, menjelang pertembungan dengan Manchester City dalam Piala Liga Inggeris (EFL) tanpa kelibat pemain Armenia itu, tengah malam ini.

Mkhitaryan tiba di Stadium Emirates dalam perjanjian pertukaran pemain yang menyaksikan Alexis Sanchez ke Manchester United sementara pemain tengah kreatif itu ke London utara.

Ketibaan Pierre-Emerick Aubameyang yang pernah menjadi rakan sepasukan Mkhitaryan di Borussia Dortmund turut mencetuskan impak segera, malah Mertesacker melihat potensi Mkhitaryan seperti yang pernah dilihatnya melalui Ozil.

"Seronok melihat potensi gabungan Micki sambil Mesut turut mengagumkan saya," katanya seperti yang dipetik oleh London Evening Standard.

"Adalah bagus melihatnya mulai serasi dengan peranannya dan menyudahkan peluang terhidang."

Begitupun, Mkhitaryan dan Ozil tidak dapat menjalinkan kerjasama dalam penentuan gelaran Piala EFL berikutan Mkhitaryan telah beraksi selama 21 minit untuk United.

Sungguhpun memuji Mkhitaryan, Mertesacker menuntutnya supaya memberi sumbangan lebih besar.

"Apabila kami menandatangani Micki, saya gembira kerana dia bersama kami dan tanda-tanda awalnya mengagumkan," katanya.

"Saya diberitahu dia telah membuat lima bantuan gol dan saya tidak begitu terkejut kerana dia mempunyai kreativiti itu, bukan setakat seorang pemain yang bagus, malah dia juga seorang pemain yang hebat. Sentiasa mahu belajar walaupun dia berusia 29 tahun.

"Secara jujurnya, dia sangat bijak. Micki mahu bekerja keras, dia mahu belajar dan dia mahu mengambil DNA kami, yang sesuai dengannya secara peribadi."