Perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini berada dalam keadaan terkawal.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, tiada sebarang unsur provokasi daripada kedua-dua pasukan setakat jam 6 petang tadi.

“Pintu stadium telah dibuka seawal jam 4 petang tadi, penyokong-penyokong sudah ramai datang sekitar pukul 3 petang.

“Pintu masuk E yang dikhaskan untuk penyokong Indonesia juga berada dalam keadaan harmoni. Setakat ini tiada apa-apa yang berlaku,” katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, seramai 1,500 pegawai dan anggota polis bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas pada perlawanan malam ini.

“Jadi saya menasihati penyokong, kita hadir hari ini untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing dan elakkan sebarang provokasi.

“Saya tengok kita hari ini berada dalam keadaan harmoni. Sebenarnya bola sepak atau sukan menyatupadukan kita semua,” ujarnya.

Tinjauan Astro AWANI di perkarangan stadium juga mendapati suasana tenteram.

Perlawanan antara Malaysia dan Indonesia malam ini merupakan perlawanan kelima Kumpulan G.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.