Tutup

Berita  | Sukan

Masa depan Hafizh Syahrin dalam MotoGP 2020 diketahui dalam tempoh terdekat

Masa depan Hafizh Syahrin dalam MotoGP 2020 diketahui dalam tempoh terdekat
Masa depan Hafizh Syahrin sebelum ini menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder untuk menggantikan pelumba kelahiran Selangor itu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Status penyertaan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dalam kejuaraan motosikal berprestij dunia itu pada musim hadapan, dijangka akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dan wakil Petronas, baru-baru ini bagi membincangkan masa depan pelumba berusia 25 tahun itu.

"Sekarang kita ada beberapa cadangan yang diketengahkan, jadi Datuk Razlan mempunyai tanggungjawab besar untuk memperhalusi cadangan-cadangan ini, bersama dengan pihak Hafizh Syahrin.
"Saya rasa dalam tempoh masa dua ke tiga minggu ini, kita akan dapat jalan penyelesaian terbaik, namun keutamaan saya adalah untuk memastikan bakat sukan permotoran akan dikekalkan pada masa hadapan untuk mewakili Malaysia," kata Syed Saddiq kepada pemberita selepas melancarkan kejohanan 'The Great Malaysia Marathon' di Menara KBS, di sini, hari ini.

Hafizh Syahrin sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau akan membuat keputusan berhubung masa depannya bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3, selepas menamatkan dua lagi perlumbaan MotoGP, iaitu di Republik Czech, hujung minggu ini dan di Austria, dari pada 9 hingga 11 Ogos ini.

Masa depan Hafizh Syahrin sebelum ini menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder untuk menggantikan pelumba kelahiran Selangor itu.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq menjelaskan keputusan muktamad sama ada acara angkat berat akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, bakal diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan semalam, meminta KBS mempertimbangkan supaya acara angkat berat dapat dipertandingkan pada Sukma 2020, bagi menggilap potensi bakat baharu.

Syed Saddiq baru-baru ini, dilaporkan berkata, kedudukan sukan angkat berat pada Sukma 2020 masih samar dan diletakkan di bawah status 'KIV' (untuk perhatian lanjut) oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020.

Kenyataan tersebut hadir susulan beberapa kes pengambilan bahan terlarang melibatkan beberapa atlet angkat berat negara dalam beberapa temasya sukan sebelum ini sehingga menjejaskan reputasi Malaysia dalam sukan berkenaan.

-- BERNAMA

Tag: hafizh syahrin abdullah, motoGP, sukan permotoran, syed saddiq syed abdul rahman, SIC, red bull KTM Tech 3


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.