Beberapa atlet Sukan SEA negara yang menginap di sebuah hotel d iibu negara disahkan telah mengalami keracunan makanan.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) yang menerima laporan mengenai insiden keracunan makanan itu berkata kemua atlet yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil dan dipantau dengan rapi oleh pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pada masa ini, sumber pencemaran atau keracunan makanan ini masih disiasat. MASOC kini sedang berbincang dengan pihak pengurusan hotel dan para pegawai daripada KKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta ISN untuk menyiasat mengenai kejadian ini serta puncanya.

“Pihak kami juga sedang memantau rapat insiden ini bagi memastikan penyediaan dan pengendalian makanan di hotel berkenaan mematuhi piawaian tertinggi.

“Status sama ada atlet yang terlibat mampu meneruskan perlawanan dalam acara masing-masing akan ditentukan oleh pasukan perubatan KL2017,” kata MASOC dalam satu kenyataan.

MASOC turut berkata ia akan memberikan maklumat terkini selepas laporan penuh diterima.

Sebelum ini dilaporkan 16 atlet Sukan SEA negara mengalami keracunan makanan, dengan salah seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun atlet terbabit dijangka akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan.