PASANGAN beregu badminton profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terpaksa menanti empat tahun untuk melakar kemenangan pertama ke atas juara dunia 2013, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

V Shem-Wee Kiong menundukkan gandingan Indonesia itu dengan keputusan straight set dalam aksi pusingan kedua Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, pada Khamis.

Sepanjang empat pertemuan lalu dari tahun 2015, V Shem-Wee Kiong gagal mencatatkan sebarang kemenangan ke atas jaguh dunia itu.

Bagaimanapun, perubahan ketara dapat dilihat dalam corak permainan mereka sejak mengundurkan diri daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan membuat kejutan menyingkirkan pilihan keenam kejohanan itu 21-19, 24-22.

Menanti mereka selepas ini adalah pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

"Kami tidak bermula dengan baik memandangkan kami tidak pernah menang berdepan mereka.

"Kami agak kurang berkeyakinan, namun selepas mata ke-11, kami bangkit untuk memenangi perlawanan," kata Wee Kiong.

Turut melangkah ke suku akhir adalah satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Mereka menumbangkan gandingan dari Denmark, David Daudgaard-Frederik Sogaard, 21-13, 14-21, 21-11.

"Gaya permainan setiap beregu Denmark hampir sama.

"Kami terlalu terikut-ikut dengan gaya permianan mereka dalam set kedua dan situasi itu menyukarkan kami," kata Yew Sin.