KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata Kylian Mbappe mampu beraksi dalam pertemuan berdepan Jerman selepas mengalami kecederaan paha memaksanya beraksi sebagai pemain gantian ketika aksi berdepan Iceland yang berkesudahan seri 2-2.

Mbappe hadir daripada bangku simpanan untuk mencetus inspirasi untuk Perancis melakar kebangkitan di Guingamp, apabila juara dunia itu ketinggalan 2-0 sebelum seri 2-2, awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu memaksa Holmar Eyjolfsson melakukan jaringan sendiri pada minit ke-86 sebelum menyumbat masuk gol penyamaan menerusi sepakan penalti empat minit kemudian.

Ditanyakan mengapa Mbappe tidak berada dalam kesebelasan utama, Deschamps berkata, "Pada Rabu, Mbappe mengalami kesakitan pada bahagian paha dan tidak berada pada tahap terbaik.

"Saya tidak mahu mengambil risiko dan merehatkan Mbappe terlebih dahulu. Selepas melakukan sesi pemanas badan, keadaan Mbappe menjadi lebih baik dan dia mempamerkan aksi yang penting dalam 30 minit terakhir perlawanan.

"Dia membuka ruang dan menghadirkan ancaman kepada lawan.

"Kepantasan dan ketajamannya sangat penting untuk pasukan.

Perancis gagal mempamerkan aksi berkualiti ketika bertemu pelawat -- yang mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama -- tetapi Deschamps enggan memberikan tekanan kepada pasukan kendaliannya.

"Saya tidak berpuas hati dengan aksi Perancis dalam separuh masa pertama. Saya tidak akan memberitahu secara menyeluruh, tetapi ia adalah satu pengajaran buat kami.

"Kami tidak akan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Terdapat waktu persembahan pasukan akan menurun."