Jaringan Kylian Mbappe pada babak pertama sudah memadai untuk Perancis melakar kemenangan 1-0 ke atas Peru.

Kekalahan menyebabkan Peru menjadi pasukan pertama dari kumpulan C tersingkir dari kejohanan, sementara Perancis mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Perancis melancarkan banyak serangan dalam babak pertama menyaksikan skuad Les Blues itu terlepas peluang untuk berada di depan seawal minit ke-14, apabila tandukan Raphael Varane tersasar hasil sepakan sudut Antoine Griezmann.

2 minit kemudian, Griezmann melepaskan rembatan deras ke arah gol selepas menerima tandukan Olivier Giroud, namun ia diselamatkan penjaga gol Peru, Pedro Gallese.

Peru turut terlepas peluang untuk berada di depan pada minit ke-31, apabila cubaan Jose Paolo Guerrero diselamatkan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

Perancis akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-34, apabila Mbappe menolak masuk bola ke dalam gawang Peru, susulan rembatan Giroud yang terbias akibat dihalang pertahanan Peru, Alberto Rodriguez.

Dengan jaringan tersebut, Mbappe muncul pemain Perancis termuda untuk menjaringkan gol di pentas Piala Dunia FIFA.

Skuad bimbingan Ricardo Gareca bermain dengan lebih baik dalam babak kedua, hasil sokongan padu penyokong mereka di Ekaterinburg Arena ini namun gagal mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-51, rembatan kencang Pedro Aquino dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Lloris namun terkena tiang.

Perancis berjaya bertahan untuk mencatat kemenangan kedua dalam saingan kumpulan C, sekaligus mengesahkan tempat di pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA tahun ini.

Tonton: Perancis 1-0 Peru