Pasukan Melaka United sudah menekan 'butang panik' untuk terus kekal di Liga Super pada musim hadapan dengan membuat rombakan secara besar-besaran.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa, pihaknya sedang membuat penilaian untuk melepaskan jurulatih Eric Williams dan penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Ilija Spasojevic bagi mengelak zon penyingkiran.

Dalam usaha memperbaiki persembahan, Melaka United sebelum ini telah menukarkan dua pemain importnya dengan membawa masuk pemain pertahanan dari Macedonia, Jasmin Mecinovic menggantikan Godwin Antwi dari Ghana dan pemain tengah dari Brazil, Felipe Almeida De Souza di tempat Sergio Aguero yang berasal dari Argentina, selepas jendela perpindahan pertengahan musim dibuka.

Skuad Sang Kancil kini sedang meneliti kedudukan Williams dan Spaso, di mana keputusan dijangka akan dibuat dalam masa terdekat ini, sebelum aksi liga bersambung kembali pada 1 Julai ini, menyaksikan Melaka United dijadualkan menentang satu lagi pasukan yang bergelut dengan ancaman penyingkiran, PKNS FC.

"Keputusan akan diambil pada hujung minggu ini...kami melihat prestasi Spaso ketika tewas 3-0 kepada Felda United hari itu tidak begitu baik. Beliau gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol.

"Secara peribadi, saya rasa Williams merupakan seorang jurulatih yang baik, tetapi sukar dapat keserasian dengan pemain. Mungkin pemain sukar menerima corak latihan yang cuba diterapkan oleh beliau kerana terlalu berat bagi mereka.

"Kami ada senaraikan beberapa jurulatih tempatan dan luar negara, tetapi saya kena kenal pasti dahulu apa masalah pasukan dengan Williams dulu sebelum ambil keputusan. Saya akan berbincang dengan pemain selepas mereka balik dari cuti nanti," katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan beliau ke sesi latihan skuad Bawah-22 tahun negara di Wisma FAM, malam tadi.

Melaka United sebelum ini telah 'merehatkan' Williams sebelum perlawanan menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, minggu lalu.

Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata Melaka United juga akan melakukan rombakan pemain tempatan dengan membawa masuk beberapa pemain dari pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Pahang secara pinjaman.

Juara Liga Perdana 2016 itu berhadapan dengan risiko penyingkiran apabila berada di tempat ke-11 di carta Liga Super menerusi perbezaan gol, walaupun berkongsi 11 mata dengan pasukan di tangga kesembilan dan ke-10, iaitu PKNS FC dan Sarawak.

Selepas mengharungi 13 perlawanan, Melaka United hanya menang dua perlawanan, selain seri lima kali dan tewas enam kali.

-- BERNAMA